"Di mana kan ku cari ganti Serupa denganmu" - Dimana Kan Ku Cari Ganti
Hendak ku nangis Tiada berair mata Hendak ku senyum Tiada siapa nak teman Kalaulah nasib Sudah tersurat Begini hebat Apa nak buat
Di mana kan ku cari ganti Serupa denganmu Tak sanggup ku berpisah Dan berhati patah Hidup gelisah
Alangkah pedih rasa hati Selama kau pergi Tinggalku sendirian Tiada berteman Dalam kesepian Dunia terang menjadi gelita Cahaya indah tiada berguna Keluhan hatiku Menambah derita Tetap kau jua Tak kunjung jelma
Dimana kan ku cari ganti Mungkinkah di syurga Untuk kawan berduka Menangis bersama Selama-lama
Begitulah bait-bait yang didendangkan dalam lagu "Di Mana Kan Ku Cari Ganti" dendangan Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee yang dipopularkan melalui filem 'Ibu Mertuaku'. Lirik-liriknya jelas menyatakan akan kehilangan seseorang yang tiada tolok gantinya, hinggakan dipersoal-soalkan adakah akan ada pengganti ataupun tidak. Begitulah juga dengan ruangan seni tanah air yang semakin lama semakin banyak hasil seni hilang arah tuju, tiada erti dan tiada lagi unsur-unsur kehalusan seni. Lihat sajalah filem mahupun lagu yang didendangkan Allahyarham, tidak kenal batasan ruang mahupun masa, sentiasa wujud dalam kenangan mereka yang pernah mendengar mahupun menontonnya.
Entah tak semena-mena, Astro telah menjadikan Oktober 2010 sebagai bulan mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham setelah Allahyarham meninggal dunia pada Mei 37 tahun dahulu. Memang tidak terkata banyaknya sumbangan Allahyarham pada industri seni tanah air walaupun tempoh hayatnya terlalu singkat. Tetapi, bayangkan, apa yang akan terjadi jika semua halangan-halangan yang wujud tidak berlaku. Bayangkan apa jadi jika Studio Jalan Ampas tida pernah ditutup. Bayangkan jika kegemilangan wayang tidak pernah ditenggelami oleh majunya televisyen. Bayangkan jika Singapura tidak pernah keluar dari Malaysia. Bayangkan jika P. Ramlee tidak terlalu tension hingga memamah kesihatannya sedikit demi sedikit. Tapi, bayangan tidak bermakna apa-apa.
Diambil dari web Omar Hashim: "Di Pusara P. Ramlee, Jalan Ampang, K. Lumpur. Tahun 1984 - Dari kiri: Sheikh Ali Sheikh Muhammad (abang seibu P. Ramlee), Mazlan Ahmad (pelakon tambahan filem Melayu), Nasir P. Ramlee (anak P. Ramlee), Normah Kamaruddin (bekas kekasih P. Ramlee - bapanya Master Kamaruddin ialah guru muzik P. Ramlee di P. Pinang), Seniwati Norizan Mohd Noor (isteri ke-2 P. Ramlee) dan Omar Hashim (pemilik blog)
Jelas, melalui lagu terakhirnya, "Air Mata Kuala Lumpur", Allahyarham sendiri tidak pernah melihat harapan dirinya dalam industri seni tanah air. Bayangkan betapa kecewanya dia selepas berpindah ke Kuala Lumpur, selepas dia merosot sedikit demi sedikit. Lagu-lagunya sudah diketepikan. Penampilannya disorak malu malah dihalau. Filem-filemnya pula sudah hilang popular, dan tidak kurang juga ada yang rugi. Semuanya akibat rakyat Malaysia ketika sudah enggan menerimanya lagi. Tapi, sudah lumrah manusia. Apabila seseorang itu sudah tiada, barulah kita sedar ketiadaannya, dan masa itulah kita mula mengagung-agungkan apa yang ditinggalkannya.
Tapi, yang telah berlalu, biarkan berlalu. Kini, legasi hebatnya masih lagi mampu dijadikan contoh untuk menggarap sesuatu yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengembangkan seni muzik, penulisan, wayang, persembahan mahupun lakonan. Yang itu, masih belum terlambat. Cuma kita masih mahu membuka mata kita ataupun tidak sahaja. Jangan sampai orang asing mengambil kesempatan dan menemui permata berharga disebalik apa yang kita ada sedangkan kita hanya berputih mata.
Setelah pemergian Allahyarham, terdapat dua versi lagu ini yang aku minat. Satu ialah nyanyian isteri Allahyarham sendiri, iaitu Allahyarhamah Salmah Ismail @ Saloma. Beliau menyanyikan lagu ini dalam rancangan 'Irama dan Lagu' dalam rangkaian Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) pada 1981, 2 tahun sebelum beliau meninggal dunia. Nyanyian Allahyarhamah juga turut berpotensi untuk meruntun hati. Lebih-lebih lagi, lagu yang mendayu-dayu dinyanyikannya itu ialah lagu orang yang paling disayangi.
Yang ini pula ialah versi terkini oleh artis-arti muda yang dibuat sempena Bulan P. Ramlee di Astro. Yang menyanyikannya ialah Aizat, Azlan, Shahir, KRU, Vince, Ella, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Stacy, Jaclyn Victor, Bunkface dan Atilia. Nicely done.
P/S - Still mengharapkan season baru untuk P. Ramlee the Musical. Huhu...