Tuesday, January 11, 2011
Huffington Post telah meletakkan satu kisah yang bertajuk “You're Out: 20 Things That Became Obsolete This Decade” (Anda Ketinggalan: 20 Perkara yang Akan Luput Dekad Ini). Ia merupakan satu retrospektif tentang anjakan teknologi yang telah kita lakukan sejak bermulanya abad baru ini dan pastinya perubahan itu bakal membentuk kehidupan kanak-kanak kini.
Idea tersebut kini diambil dan ditambah untuk membentuk hal ini: Adakah anda fikir kanak-kanak yang lahir tahun 2011 akan kenal benda-benda ini?
Pita video: Bermulanya tahun ini, kebanyakan berita terkini direkod, disunting dan diedarkan ke stesen TV tanpa memerlukan sebarang pita. Bukan itu sahaja, kamera penyiaran tanpa pita yang diguna kini menawarkan kualiti yang lebih baik dari apa yang kita dapat bayangkan 10 tahun lalu – malah lebih murah dari harga kanta kamera yang kita pernah gunakan dulu. Mungkin lepas ini, mereka lebih mengenali pita pelekat berbanding pita video.
Agen pelancongan: Masih lagi wujud kini, tetapi sedikit sebanyak telah digantikan oleh internet. Bayangkan kalau hendak berbulan madu, adakah budak-budak yang lahir 2011 akan jumpa agen-agen begini?
Jurang kerja dan rumah: Apabila anda bawa komputer kecil di dalam poket anda, bukan sahaja kawan dan keluarga yang akan sibuk menghubungi anda. Begitu juga bos anda. Bagi kanak-kanak yang lahir tahun ini, mungkin sukar untuk mereka bezakan rumah dan kerja.
Buku, majalah, surat khabar: Zaman tulisan pada pokok mati sudah berlalu. Dengan adanya e-majalah, blog, surat khabar dalam talian dan sebagainya, siapa yang ingin memenuhkan buku di rumah jika malas untuk ulang baca? Pastinya bagi masa akan datang, buku masih dijual, tetapi mungkin bilangannya sama seperti bilangan orang menjual CD sekarang ini. Tauke surat khabar lama pun mungkin kena masuk Jobstreet juga lepas ni untuk cari kerja baru.
Kedai sewa video: Ada lagi ke orang yang memandu kereta jauh-jauh semata-mata untuk menyewa cerita yang hanya tempoh masanya beberapa hari?
Jam tangan: Mungkin bertatahkan berlian, bertalikan kulit haiwan atau bergaya tetapi anda tetap mengharapkan smartphone untuk merujuk masa, yang sudah tentu anda ingat untuk dibawa ke mana-mana.
Kertas peta: Kalau dulu, pasti akan ada di mana-mana stesen. Kini, siapa yang perlukan jika anda ada GPS. Paling tidak pun, buka Google Map dan sudah pasti anda boleh lihat terus destinasi yang ingin dituju sebelum keluar rumah. Mungkin generasi akan datang perlu ke muzium untuk melihat kertas peta seperti seperti kita lihat peta Tanah Melayu dulu-dulu.
Telefon berkabel: Untuk apa kita bayar duit setiap bulan semata-mata untuk telefon yang dicucuk plag ke dalam dinding. Lebih baik kita bayar sesuatu yang kita akan bawa ke mana-mana. Pra-bayar pun boleh…
Panggilan jarak jauh: Terima kasih kepada internet, kita tak perlu lagi membayar berpuluh-puluh ringgit untuk menghubungi seseorang yang berada di negeri atau negara lain.
Rampai iklan surat khabar: Siapa lagi yang akan membeli surat khabar semata-mata untuk melihat iklan atau jualan dalam kotak kecil.
Internet Dial-up: Dengan adanya broadband, buat apa kita nak dail dulu?
Ensiklopedia: Bayangkan dulu-dulu, setiap ahli cendekiawan akan pasti mempunyai koleksi ensiklopedia yang mahal, berjilid-jilid. Dari hujung kiri rak hingga hujung kanan rak, penuh dengan warna kulit buku yang sama. Tapi, belum habis baca dari satu ke satu, maklumat da berubah pula. Kena bali lagi yang baru. Benda itu semua tidakpun terfikir oleh mereka di zaman akan datang. Apa yang ada? Wikipedia.
Kawan lama: Ingat tak lagi apabila kawan lama menyebut nama seseorang yang anda kenali di sekolah dulu dan anda jawab, “Oh ya, dia tu! Dah tak ingat dah…” Generasi seterusnya, mereka akan kekal berhubungan walaupun tidak pernah berjumpa. Itulah gunanya Facebook.
Lupa pelbagai perkara: Kanak-kanak kini tidak perlu bergaduh semata-mata kerana perkara yang kurang diketahui. Kebanyakan ilmu kini di dalam poket atau di riba anda. Sejak itu, pernah tak kita sibuk untuk hafal dan ingat macam-macam?
Berita terkini: Berita berubah dari semasa ke semasa. Kalau anda tiada dirumah untuk menontonnya, apa susah. Internet ada di hujung jari.
CD: Dulu piring hitam, kemudian kaset, lalu CD – menggantikan koleksi muzik pernah menjadi satu perkara yang memakan duit. Anda perlu ke kedai untuk mencarinya. Malangnya, tidak semua kedai menjual muzik yang kita ingini. Kini, adalah (lebih) murah dan mudah dengan adanya Internet.
Kamera filem: Bagi yang betul-betul mengaji, mungkin tahu tetapi kebanyakan kanak-kanak yang dilahirkan hari ini, perkataan filem itu tidak lebih dari apa yang ditayangkan di panggung wayang. Malah, kamera digital – video atau biasa --- juga bakal mengalami kepupusan apabila komputer poket atau telefon mudah alih mengambil peranan itu dengan begitu pantas.
Buku Telefon Kuning dan Putih: Sudah lama dilupakan. Lagipun, siapa yang nak bawa buku seberat 3-5 kg semata-mata untuk cari seorang saja?
Katalog: Tak guna hantar buku atau risalah jualan sedangkan kita boleh tengok jika ada jualan di mana-mana pada bila-bila masa sahaja. Kalau nak, emel sahajalah. Lagipun, peti surat rumah kita pun dah penuh dengan kertas-kertas yang entah sejak bila wujud di situ.
Mesin faks: Pernah dengar tak "scan," ".pdf" dan "emel"?
Gambar berbingkai-bingkai: Kalau kita datang rumah, pastinya dinding, rak, almari, meja, malah lantai juga penuh dengan gambar. Gambar kahwin, gambar konvo, gambar raya, gambar sunat, gambar anak bogel dan segala macam lagi, sehinggakan warna cat dinding pun dah dilupakan. Dengan adanya lapan gigabait gambar atau video dalam bingkai digital kini memudahkan untuk lihat. Kalau nak tunjuk, pasang sahaja “slide show” di TV atau skrin besar. Jadi, bolehlah budak-budak nanti lebih risaukan tentang cat dinding.
Wayar: Wayar kabel telefon ke dinding? Wayar untuk sambung komputer, TV, radio dan lain lagi? Wayar untuk sambung internet? Haha. Di Malaysia masih banyak lagi. Bagi budak-budak yang dilahirkan 2011, perkara itu mungkin menyusahkan. Malah, wayar yang digunakan mungkin hanya untuk menyambungkan elektrik sahaja.
Surat tulisan tangan: Siapa peduli? Malah, bila kali terakhir anda menulis tulisan bersambung, yang berbunga-bunga? Tahu tak rupanya macam mana? Budak-budak akan datang memang tidak ingin ambil tahu. Tulisan buruk macam mana sekalipun, itu bukan satu perkara besar. Guna sahaja papan kekunci dan gunalah font yang cantik. 
Bercakap dengan satu orang pada satu masa: Ingat tak, kalau dulu, adalah biadap kalau bercakap dengan seseorang ketika menelefon? Sekarang ni, anda akan memberikan pesanan teks pada 5-10 orang sambil berpura-pura menumpukan perhatian pada orang yang duduk di hadapan anda.
Surat: Apa saja yang tinggal jika anda tolak surat bil yang boleh dibayar melalui internet, cek yang boleh didepositkan terus ke dalam bank dan surat sampah yang penuh dengan iklan? Jawabnya: Hal-hal birokrasi yang menghabiskan duit pembayar cukai setiap tahun.
Iklan TV: Sungguh mahal, boleh dielakkan dengan DVR dan tak berapa berkesan untuk menarik penonton. Lainlah kalau anda dipaksa tengok, tapi siapa yang nak tengok iklan TV?
Iklan radio: Bosan dengan iklan radio, membebel, menyanyi sumbang dan sebagai antara lagu di radio? Program muzik seperti Pandora akan memberikan penyelesaian kepada anda untuk tidak risau dengan iklan mengarut antara lagu.
Buku catitan nombor telefon: Kalau dulu, nombor adalah suatu yang paling selalu bermain di kepala. Cakap sahaja nombor siapa, kita akan ingat dengan mudah. Nombor rumah, nombor pejabat, nombor kawan rapat? Paling tidak pun, kalau banyak sangat, kita aka nada satu buku khas yang menyimpan semua nombor telefon. Kini dan akan datang? Cari nama, dail sahaja. Ada kisah tentang nombornya?
Sembunyi: Dahulu, jika anda tidak menjawab telefon rumah, tiada siapa yang tahu anda hidup, mati atau di mana. Kini, dengan telefon di dalam poket anda – ia mampu beritahu semua – termasuk musuh anda, di mana anda berada.


http://www.geekologie.com/2011/01/kids_guessing_the_use_of_old_t.php
Budak2 cuba teka teknologi lama. Semua salah
http://bloglistmalaysia.blogspot.com
sila maklumkan kepada kami sekiranya En/Cik/Tuan/Puan telah memasukkan blog kami kedalam bloglist En/Cik/Tuan/Puan.
kerjasama En/Cik/Tuan/Puan amat kami hargai
terima kasih